Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Download Terjemahan Kitab Tanbihul Ghafilin Pdf

Kitab yang ingin dikongsi dengan pembaca kali ini, ialah sebuah kitab dalam Bahasa Melayu lama (tulisan Jawi) yang berjudul Tanbihul Ghafilin ( تنبيه الغافلين ). Kitab ini disusun oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani al-Syafi'i (), seorang ulama dari Patani. Kitab ini merupakan sebuah karya dalam bidang hadis Nabi saw. Sebahagian besar hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab ini adalah berkaitan dengan perbuatan dosa besar.

Kandungan yang terdapat di dalam kitab ini ialah sebanyak 12 bab iaitu :

1) Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang meninggalkan sembahyang.

2)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang derhaka kepada ibubapa.

3)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang meminum khamar (arak).

4)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang berzina.

5) Menyatakn mengenai dengan siksaan orang-orang yang melakukan liwat(hubungan sesama jenis).

6)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang memakan riba.

7)

Menyatakn mengenai dengan orang-orang yang tidak redha dengan qada dan qadar Allah dan yang menyatakan mengenai dengan pahala orang-orang yang sabar.

8)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat.

9)

Menyatakan mengenai dengan siksaan orang-orang yang membunuh orang lain tanpa hak yang betul.

10)

Menyatakan mengenai dengan hak wanita ke atas suaminya dan orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga.

11)

Menyatakan mengenai dengan Hari Kiamat.

12)

Menyatakan mengenai dengan syurga dan isi-isi di dalamnya.

Kitab Tanbihul Ghafilin versi tulisan Rumi sudah ada diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan bagi memudahkan para pembaca kini menjadikan kitab ini sebagai bahan  bacaan dan rujukan mereka.

Beberapa catatan mengenai kitab Tanbihul Ghafilin karya Syaikh Abdullah al-Fathani

Berikut dibawakan maklumat ringkas kitab ini, berdasarkan kajian al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah, katanya;

" Sheikh Abdullah menghasilkan sebuah kitab hadis berjudul Tanbihul Ghafilin, yang diselesaikan penulisannya tahun 1184 H/1770 M. Kitab tersebut juga masih beredar di pasaran kitab. Karyanya yang pertama ialah terjemahan Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits as-Samarqandi. Terdapat tiga versi terjemahan beliau, ada yang lengkap merupakan terjemahan keseluruhan kandungan kitab asalnya. Namun, yang beredar di pasaran hanyalah merupakan terjemahan petikan-petikan kandungannya saja.

Versi yang sebuah lagi lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan. Dua versi yang agak lengkap tidak pernah dicetak. Beberapa manuskrip daripada ketiga-tiga versi tersebut telah dijumpai penulis, sekali gus menjadikannya koleksi sebagai bahan-bahan rujukan " [1] .

Berdasarkan kenyataan Haji Wan Mohd Shaghir di atas, ini menjelaskan bahawa kitab Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak dan menjadi bacaan serta rujukan umat Islam kini, merupakan ringkasan terjemahan dari kitab Tanbihul Ghafilin bi Ahaditsi Sayyidil Anbiya' wal Mursalin karya al-Imam Abu Al-Laith al-Samarqandi al-Hanafi (375H). Di samping kitab ringkasan ini, terdapat versi lain terjemahan Tanbih al-Ghafilin yang lebih lengkap yang masih dalam bentuk manuskrip.

Berikut beberapa kesimpulan yang saya perolehi berdasarkan pengamatan saya terhadap Tanbihul Ghafilin (Jawi) yang dicetak;

a) Kitab ini merupakan kitab ringkasan bagi terjemahan Tanbihul Ghafilin susunan Syaikh Abdullah al-Fathani. Ini berdasarkan teks di awal kitab " Ku mulai mukhtashar ini ( كملأي مختصر اين )", yang bermungkinan dari kata peringkasnya. Wallahu a'lam.

b) Kitab ini ditulis pada 1184H. Berdasarkan petikan kata pengarangnya; " Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis....". Menurut pandangan saya, ini merupakan kata-kata penulis asal kitab, iaitu Syaikh Abdullah al-Fathani yang dipetik oleh peringkasnya. Manakala berdasarkan kenyataan al-Marhum Haji Wan Mohd Shaghir, tarikh ini adalah tahun kitab ini selesai ditulis. Wallahu a'lam.

c)

Di akhir kitab terjemahan Tanbih al-Ghafilin tercatat " ( تم هذا الكتاب يائت حديث يغ برنما تنبيه الغافلين فد وقت عشاء فد مالم ثلاث تيك هاري بولن شعبان فد تاهون سريب تيك راتس انم هجرة نبي صلى الله عليه وسلم ) ". Di mana, dinyatakan selesai penulisan kitab ini pada malam selasa, 3 hb Sya'ban tahun 1306H. Berdasarkan jarak di antara tahun mula ditulis, iaitu tahun 1184H, dan tahun selesainya 1306H yang agak jauh, iaitu mengambil masa selama 122 tahun, ini menunjukkan teks terakhir kitab ini adalah kata-kata daripada peringkasnya. Wallahu a'lam.

d) Jika dianggap kitab ringkasan ini sememangnya ditulis oleh Syaikh Abdullah sendiri, kerana melihat kepada teks dalam muqaddimahnya;

" Maka adapun kemudian dari itu. Maka adalah tatkala hijrah Nabi saw seribu seratus dulapan puluh empat tahun, maka sanya telah meminta kepada ku seorang daripada sahabatnya yang .... padaku menghimpunkan suatu risalah pada menyatakan ilmu hadis yang muwafakat atas Ahli Sunnah wal Jama'ah pada hal aku memindahkan daripada bahasa Arab kepada Bahasa Melayu supaya beroleh manfaat dengan dia kiranya bagi barangsiapa yang tidak tahu bahasa Arab, maka memperkenankan oleh faqir yang daif lagi bebal yang tiada mempunyai ilmu dan amal pada hal aku berpegang kepada Allah Ta'ala, iaitu Haji Abdullah anak Abdul Mubin Syafi'i mazhabnya dan bahawa dijadikan kiranya mukhtashar (ringkasan) ini tulus ikhlas bagi hadrat-Nya yang mulia dan ku namai hadis ini Tanbih al-Ghafilin .................. Maka adalah kitab hadis ini aku jadikan dua belas bab".

Maka teks di awal kitab " Ku mulai mukhtashar ini ( كملأي  مختصر اين ) sebagaimana di nota (a) hingga akhir bab ke 12 adalah daripada penulisan Syaikh Abdullah al-Fathani sendiri. Manakala teks terakhir sebagaimana dalam nota (c) di atas, kemungkinan adalah kata-kata penyalin (nasikh) kitab ringkasan terjemahan Tanbihul Ghafilin ini. Wallahu a'lam.

Semoga bermanfaat.

Posted by: aileenaileenwauforde0270359.blogspot.com

Source: http://abusyahmin.blogspot.com/2018/07/tanbihul-ghafilin.html

Post a Comment for "Download Terjemahan Kitab Tanbihul Ghafilin Pdf"